Najib tak kesal laksana GST

Langkah pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mungkin pahit untuk diterima, namun ia perlu dilakukan dan bertepatan bagi menangani kelembapan ekonomi dunia, kata Datuk Seri Najib Razak.

 “Saya tidak kesal melakukannya. Ia adalah keputusan yang tepat,” kata Perdana Menteri sambil menegaskan pelaksanaan GST agak sukar dari sudut politik tetapi penting bagi ekonomi.

 Dalam sesi minum petang bersama kira-kira 300 rakyat Malaysia yang bekerja dan menuntut di California Selatan, Najib mengakui pelaksanaan GST mungkin membuatkan kerajaan kehilangan sedikit kelebihan.


 “Baik dalam politik mahu pun kehidupan, ada kalanya kita perlu mengambil keputusan perit dan sukar yang diketahui baik untuk kita dan negara dalam tempoh sederhana serta jangka panjang.

 “Saya kerap menyamakan keadaan ini dengan jika kita sakit. Kita perlu mengambil antibiotik dan ada yang pahit, tetapi ia masih perlu dimakan secara berterusan.

 “Kita perlu menghabiskan sukatan antibiotik dan selepas selesai, kita akan pulih dan kembali sihat,” katanya.

 GST yang ditetapkan pada kadar enam peratus, mula dilaksanakan pada 1 April tahun lalu.

Pungutan hasil menerusi GST membantu kerajaan menampung pengurangan hasil daripada sumber minyak dan gas serta komoditi lain berikutan kelembapan ekonomi China serta kejatuhan permintaan global.

 Najib berkata, semua faktor itu adalah di luar kawalan kerajaan. Campur tangan terbaru kerajaan, termasuk Pengubahsuaian Bajet 2016 dan menurunkan unjuran pertumbuhan kepada empat hingga 4.5 peratus.

 Beliau sekali lagi menegaskan, Malaysia tidak berdepan kemelesetan ekonomi. “Kita tidak menghadapi kegawatan ekonomi, cuma pertumbuhan ekonomi lebih rendah berbanding unjuran awal,” katanya. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil maklum kesukaran dan penderitaan rakyat. “Kita sentiasa mengambil langkah untuk mengurangkan bebanan rakyat,” katanya.

 Najib turut menyedari kesukaran pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) yang terpaksa bergelut dengan yuran pengajian dan kos kehidupan tinggi berikutan pengukuhan dolar Amerika berbanding ringgit.

 “Ada antara ibu bapa anda yang berdepan kesukaran untuk membiayai pengajian dan membantu anda. Kita harap ringgit akan bertambah kukuh dalam beberapa bulan akan datang.

 “Ia berkait rapat dengan harga minyak dan jika harga stabil pada paras lebih tinggi, anda akan lihat ringgit mengukuh dalam tempoh terdekat,” katanya.

 Beliau turut mempersoalkan motif pembangkang di Malaysia cuba menjejaskan nama baik negara dengan sokongan sekutu di luar negara.

 “Mereka cuba melakukannya untuk kepentingan peribadi dan politik, malah sanggup menggugat keamanan dan mempersoalkan sistem demokrasi yang kita sanjung serta menjadi tarikan bagi meyakinkan pelabur menanam modal di Malaysia.

Ini bukan sikap mendahulukan negara,” katanya. Majlis berlangsung di kediaman rasmi Konsul Jeneral Malaysia di sini, Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin.

 Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

 See more at: http://www.hmetro.com.my/node/115044?m=1#sthash.dkCKPF1z.dpuf

simieY: iye..jalan pintas nak dapatkan duit dalam masa singkat

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com