Empat daerah di Florida istihar darurat virus zika

Florida semalam mengisytiharkan darurat kesihatan awam di empat buah daerah selepas sebanyak sembilan kes virus Zika yang melibatkan perjalanan ke luar negara disahkan di negeri Amerika Syarikat (AS) itu.

Perkara tersebut diputuskan ketika kerajaan AS melanjutkan nasihat perjalanan ke Jamaica dan Tonga. Gabenor Florida, Rick Scott mengeluarkan perintah itu bagi menghentikan penyebaran sakit bawaan nyamuk tersebut yang setakat ini dikaitkan dengan gangguan saraf dan masalah kecacatan pada kelahiran yang mengakibatkan kepala bayi menjadi kecil.

“Walaupun sebanyak sembilan kes melibatkan perjalanan ke luar negara berlaku, kami perlu memastikan Florida bersedia menangani penularan virus Zika di negeri ini,’’ katanya.


Buat masa ini, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit AS (CDC) menambah Jamaica dan Tonga dalam senarai negara-negara yang berdepan masalah Zika.

Dalam pada itu, menteri-menteri kesihatan dari 14 negara Amerika Selatan mengadakan satu mesyuarat tergempar semalam. Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada cara untuk mengawal populasi nyamuk yang menyebarkan virus Zika di sebalik laporan seorang mangsa di AS mendapat virus berkenaan menerusi hubungan seks.

Presiden Brazil, Dilma Rouseff berkata, kerajaannya menggunakan segala sumber yang ada bagi menangani krisis itu dan berikrar untuk melakukan sebaik mungkin bagi keluarga yang berdepan masalah bayi berkepala kecil.

“Virus yang hanya baru-baru ini tiba di Brazil dan Amerika Latin merupakan ancaman kepada semua rakyat Brazil,’’ kata Rousseff. Brazil merekodkan sebanyak 404 kes bayi berkepala kecil sejak 2014, manakala 3,670 masih lagi diperiksa.

Dalam perkembangan berasingan, penularan virus Zika di Kepulauan Caribbean dan Amerika Latin memaksa sesetengah pelancong di Amerika mengubah destinasi percutian mereka ke dalam negeri dan Hawaii.

Penduduk New York, Mark LoCastro dan isterinya yang sebelum ini bercadang memilih St Lucia sebagai lokasi bercuti terpaksa mengubah haluan itu ke Charleston di Carolina Selatan.

Tambahnya, dia turut melihat rakannya menukar destinasi baharu percutian mereka di media sosial dengan meletakkan hashtag ­#zikafreezone. – DPA/AFP/AP

See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/zika-florida-isytihar-darurat-8232-kesihatan-di-empat-daerah-1.186967#sthash.SVLH7c5I.dpuf

simieY:

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com