Pejabat Megaupload.com diserbu kastam Hong Kong

Susulan penamatan perkhidmatan Megaupload.com dan penangkapan pengasas serta tiga kakitangan, pejabat Megaupload.com di Hong Kong telah diserbu kastam

HONG KONG - Sepasukan anggota kastam Hong Kong menyerbu beberapa pejabat, premis tempatan dan suit hotel mewah di sini dalam siasatan ke atas laman perkongsian fail Internet, Megaupload.com.

Siasatan berkenaan yang dilakukan di seluruh dunia dikendalikan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Seramai 100 anggota kastam menyertai serbuan di sini kelmarin dan merampas sebahagian besar bukti digital selain aset haram mencecah HK$330 juta (RM130.4 juta).

"Semua aset ini dibeku kan di bawah undang-undang Hong Kong. Operasi kami masih diteruskan," kata pihak kastam Hong Kong dalam satu kenyataan.

Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut menyerbu beberapa suit hotel mewah yang kadar sewanya HK$100,000 (RM40,010) sehari dan menemui beberapa pelayan berkelajuan tinggi dan skrin televisyen yang disyaki memiliki kaitan dengan kes berkenaan.

Serbuan dibuat susulan penutupan Megaupload.com oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) Khamis lalu selepas laman web itu didakwa terbabit dalam aktiviti cetak rompak dan pelanggaran hak cipta.


Pengasas laman Megaupload.com, Kim Dotcom yang juga dikenali sebagai Kim Schmitz kini ditahan di New Zealand selepas polis menyerbu kediamannya di negara itu.

Warga Jerman berusia 37 tahun itu yang memiliki status penduduk tetap New Zealand dan Hong Kong dinafikan ikat jamin bersama tiga lelaki lain semasa mereka dihadapkan di sebuah mahkamah daerah di Auckland kelmarin.

Dalam serbuan di banglo mewah yang diduduki oleh Dotcom di Auckland, polis New Zealand turut merampas beberapa kereta mewah berharga AS$4.8 juta (RM14.9 juta) termasuk sebuah Cadillac merah jambu keluaran 1959 dan sebuah kereta Rolls Royce Phantom.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kehakiman AS dan FBI telah mendakwa tujuh individu yang dituduh "bertanggungjawab melakukan aktiviti cetak rompak besar-besaran secara atas talian menerusi Megaupload.com dan beberapa laman web berkaitan".

Megaupload menyebabkan kerugian lebih AS$500 juta (RM1.55 bilion) kepada pemilik-pemilik hak cipta dengan menawarkan salinan cetak rompak filem, program televisyen dan kandungan lain.

Ia adalah antara laman web perkongsian fail paling popular di dunia dengan mencatatkan sekitar 50 juta pengguna setiap hari. - AFP

sumber asal: Kosmo! Online

simieY: simiey[dot]com akan memberikan liputan khas mengenai Megaupload.com dari semasa ke semasa

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com