Google dan Facebook mungkin akan disekat di India

NEW DELHI: Sebuah Mahkamah Tinggi di sini mengancam akan menyekat Facebook dan Google daripada beroperasi di India melainkan mereka memperketatkan kawalan ke atas kandungan yang bersifat menjengkelkan atau menganggu perasaan orang lain.
"Kedua-dua laman sosial ini mestilah melakukan kawalan yang ketat ke atas kandungan mereka. Jika tidak sepertimana di China, kami di India juga tidak teragak-agak akan mengeluarkan satu hukuman yang mengharamkan semua bentuk aktiviti seperti ini di bumi India," kata Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Suresh Kait mengeluarkan arahan demikian ketika mendengar satu kes yang melibatkan Facebook dan juga Google India.

Kedua-dua laman sosial itu kata hakim berkenaan mestilah membangunkan satu mekanisma yang dapat mengawal dan memantau bahan-bahan bersifat menjengkelkan dan menganggu perasaan orang lain dari laman webnya.

Menteri Komunikasi, Kapil Sibal bulan lalu telah berjanji yang pihaknya akan bertindak tegas ke atas perkhidmatan jalur lebar atau internet yang gagal mengawal kandungan atau imej yang tidak sesuai untuk bacaan umum yang tidak dapat diterima oleh budaya masyarakat India.

Beliau memberi satu contoh bagaimana gambar-gambar palsu beberapa pemimpin politik India dimuat naikkan ke beberapa laman sosial tanpa kawal selia oleh pengendali laman berkenaan sehingga menimbulkan fitnah dan huru-hara.

Malah imej-imej yang tidak sensitif kepada pantang larang agama tertentu juga tidak terlebih dahulu diperiksa dan dikawal.

Namun demikian, ramai pengguna internet tidak setuju dengan kenyataan Sibal itu malah membantah sebarang tindakan untuk menyekat, mengawal atau memantau kandungan internet.

"Apa yang diminta oleh kerajaan tidak mungkin akan dapat dilakukan...macamana kita hendak mengawal bahan apa yang boleh dan tidak boleh dimuat naikkan," kata Mukul Rohatgi, peguambela kepada Google India, kepada Mahkamah Tinggi.

India, yang merupakan negara demokrasi terbesar dunia, buat masa ini memiliki lebih daripada 110 pengguna internet daripada 1.2 bilion penduduknya.

Adalah dijangkakan, lebih 600 juta rakyat India akan memiliki akses kepada internet dalam tempoh lima tahun akan datang.

Facebook secara rasminya disekat daripada beroperasi di China manakala satu lagi laman sosial Google telah menarik balik perkhidmatan enjin cariannya dari negara itu dua tahun yang lalu selepas bertelagah dengan pihak berkuasa mengenai bentuk-bentuk kawalan yang patut dikenakan ke atas para penggunanya.

sumber asal: mStar Online

simieY: China dah kena...

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com