mangsa jerung dapat kaki bionik

NASHVILLE: Seorang pemuda yang nyaris mati akibat serangan ganas jerung enam tahun lalu, kini boleh hidup normal selepas menjadi bahan ujian untuk kaki bionik paling canggih dalam pasaran.

Hutto bersama Goldfarb

Craig Hutto baru berusia 16 tahun apabila seekor jerung mengheretnya dari beting pasir ketika dia leka memancing bersama abangnya, Brian, di Teluk Mexico.

Hutto hanya diselamatkan selepas berlaku tarik-menarik di antara jerung itu dan Brian, tetapi ketika anggota paramedik tiba, dia kehilangan kira-kira separuh daripada darah dalam badannya.

Hutto, 23, juga bernasib baik kerana ketika kejadian, ada tiga anggota perubatan berada di kawasan pantai sama secara kebetulan dan mereka berjaya menghentikan aliran darah. Apabila Hutto tersedar di sebuah hospital di Panama City beberapa ketika kemudian, dia merayu ibunya supaya menghalang doktor memotong kakinya.


Bagaimanapun, dia sedar kakinya tidak dapat diselamatkan lagi. Kaki itu akhinya dipotong beberapa sentimeter di atas lutut dan Hutto terpaksa meneruskan pembelajaran di Lebanon, Tennessee menggunakan kerusi roda. Pengalaman ngeri itu mendorong Hutto mengikuti pengajian perubatan di Universiti Middle Tennessee.

Di situ dia diperkenalkan kepada Prof Michael Goldfarb, seorang pensyarah yang sedang membangunkan kaki robotik palsu di Universiti Vanderbilt. Kaki itu - memerlukan masa tujuh tahun untuk dicipta - membolehkan pemakainya berjalan lebih sempurna berbanding kaki palsu konvensional. Penggunaan peralatan pintar, termasuk sistem komputer termaju, alat pengesan dan motor elektrik membolehkan kaki palsu itu memiliki kemampuan bionik.

Ia dianggap kaki palsu pertama di dunia dilengkapi sendi lutut dan buku lali yang bergerak secara seragam. Kaki itu juga dipasang dengan alat pengesan yang memantau pergerakan, manakala pemproses mikro merakam aktiviti itu untuk dijadikan data bagi meramal apa yang cuba dilakukan penggunanya.

Kata Hutto, anggota palsu dikenali sebagai Kaki Vanderbilt itu hampir-hampir menyamai kemampuan kaki sebenar. “Ia memudahkan saya bergerak, duduk, berdiri atau menggunakan tangga,” katanya. Kaki seberat empat kilogram itu mampu berfungsi sehingga tiga hari atau 13 kilometer jika berjalan berterusan sebelum perlu dicaj semula. - DM




Sumber asal: http://www.hmetro.com.my/articles/Mangsajerungdapatkakibionik/Article

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com