Arnold Schwarzenegger tamat khidmat Gabenor California hari ini

LOS ANGELES: Gabenor California yang juga pelakon terkenal Arnold Schwarzenegger yang akan menamatkan penggal pentadbirannya hari ini, membayangkan beliau mungkin kembali berlakon jika mendapat skrip yang sesuai.
Aktor kelahiran Austria berusia 63 tahun itu juga menjangka jadual hariannya akan dipenuhi dengan memberi pelbagai ucapan, membantu aktiviti politik dan menulis autobiografinya yang sentiasa dinantikan syarikat penerbitan sejak beberapa tahun lalu.
“Adakah saya masih mempunyai kesabaran menunggu selama tiga hingga enam bulan di set penggambaran untuk berlakon? Saya tidak tahu,” kata gabenor Republikan di laman sembang blok mikro Twitter, Oktober lalu.
Jurucakap Schwarzenegger, Aaron McLear berkata tokoh politik dan aktor itu sedang meneliti ‘semua tawaran yang membanjiri pejabatnya’ dari sektor korporat, agensi pelaburan, hartanah dan industri hiburan.





“Bagaimanapun gabenor menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga menyerahkan jawatan yang disandang kepada penggantinya dari Demokrat Jerry Brown,” katanya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa rancangan,” kata Schwarzenegger kepada beratus-ratus penyokong dan kakitangannya pada satu majlis perpisahan tertutup di Sacramento bulan lalu.

Beliau tidak lagi berhati-hati dengan ucapannya apabila, memberi isyarat untuk meneruskan peranannya bagi membawa pembaharuan dalam membabitkan alam sekitar dan politik, isu yang menjadi sebahagian daripada ‘legasi bercampur-baur’ sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Ada banyak perkara yang saya ingin katakan. Kesungguhan saya untuk pembaharuan akan diteruskan, manakala kepercayaan saya bahawa kepentingan melindungi alam sekitar juga tidak akan diketepikan,” katanya.

Bagaimanapun, suatu perkara yang pasti, Schwarzenegger yang juga seorang jutawan akan memperoleh pendapatan lumayan selain gajinya selama dua penggal sebagai gabenor berjumlah AS$174,000 (RM536,730).

Rekod negeri menunjukkan Schwarzenegger membelanja sekurang-kurangnya AS$25 juta (RM77.1 juta) sebagai bayaran dalam dua kempen gabenor dan pembiayaan politik lain sejak 2001. – AP

sumber asal: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BintangHollywoodtamatkhidmatgabenor/Article

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com