jantung tiruan alternatif terbaik sebelum jantung penderma diperoleh

SEBELUM menjalani pembedahan menanam jantung tiruan tanpa nadi, Peter Houghton, dari Birmingham, United Kingdom, dikhabarkan hanya boleh hidup dalam masa beberapa minggu sahaja. Ini disebabkan jantungnya hanya bekerja sebanyak 10 peratus daripada keupayaan manusia normal.



Bagaimanapun berkat daripada pemindahan jantung tiruan itu, Houghton yang merupakan pesakit pertama di Hospital John Radcliffe, Oxford, akhirnya bukan sahaja dapat memanjangkan usianya selama beberapa bulan, bahkan hidup lebih daripada tujuh tahun.

Houghton dipasang dengan jantung Jarvik berkuasa bateri pada bulan Jun 2000.


Pada 25 November 2007, Peter yang ketika itu berusia 68 tahun disahkan oleh jirannya, John Lloyd meninggal dunia kerana kegagalan fungsi organ berganda dan dalam tempoh tersebut beliau tidak menerima sebarang penderma.

“Pemindahan jantung masih merupakan pilihan terbaik untuk jangka hayat seseorang. Namun, malangnya adalah tidak munasabah untuk semua orang melakukannya kerana pesakit memerlukan penderma untuk mendapatkan jantung yang baru.

“Jantung tiruan merupakan terapi baru untuk mengembalikan kehidupan yang produktif kepada pesakit di rumah sebagai satu alternatif daripada kegagalan fungsi jantung. Ia juga memberi peluang kepada pesakit untuk mendapat jantung baru pada kemudian hari,” kata Robert L. Kormos, Profesor Surgeri yang juga Pengarah Pusat Perubatan Universiti Pittsburgh (UPMC), Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Kormos memberitahu, UPMC berjaya melakukan pembedahan menanam jantung tiruan iaitu jenis Heartmate XVE Left Ventricular Assist System (LVAS) ke atas pesakit pertama, John Didion, 58, pada 20 Julai 2004.

“Saya tidak sangka pembedahan ini berjaya dan saya dibenarkan pulang ke rumah menjalani kehidupan seperti manusia normal,” kata Didion yang berterima kasih kepada semua doktor dan kakitangan yang menjayakan operasi pembedahan tersebut.

Di Rom, Itali pula, seorang remaja berusia 15 tahun menerima pam jantung tiruan berkuasa bateri yang akan kekal sepanjang hayatnya dalam satu pembedahan selama 10 jam pada 3 Oktober lalu.


Remaja yang menghidap sejenis penyakit otot, myopathic itu menjalani pembedahan menanam pam jantung tiruan kekal kerana dikatakan tidak boleh menerima organ yang didermakan manusia lain.

Remaja tersebut hampir mati sebelum doktor-doktor di Hopital Bambino Gesu mengambil keputusan untuk membedahnya dan memasukkan tiga pam jantung tiruan ke dalam tubuhnya.

Pam jantung itu dijangka akan membolehkan remaja itu hidup normal selama 20 hingga 25 tahun lagi.

Baik buruk jantung tiruan

Setiap tahun di Amerika Syarikat terdapat sebanyak 50,000 orang yang memerlukan pemindahan jantung manakala hanya 2,400 orang sahaja yang berjaya memperoleh jantung baru daripada penderma. Bagaimana pula dengan nasib lebih 47,000 orang pesakit yang masih memerlukan pemindahan jantung?

Jantung tiruan merupakan pilihan alternatif pesakit untuk memperoleh peluang hidup sementara menunggu penderma jantung sebenar.

Menurut Melissa Slate yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang kejururawatan di New York, penggunaan jantung tiruan menggantikan jantung sebenar mempunyai kebaikan dan keburukan.

Kebaikannya ialah apabila ia mudah diperoleh oleh pesakit dan pesakit juga tidak perlu menggunakan dadah imunosupresif (umumnya digunakan untuk mengelakkan tubuh penerima menolak organ penderma selepas pembedahan). Ia juga melancarkan fungsi ginjal dan menghalang pesakit daripada sebarang jangkitan.

“Jantung tiruan juga mengembalikan kestabilan hemodinamik, menaikkan tekanan darah dan membantu organ-organ yang mustahak pulih dalam persediaan untuk satu pemindahan jantung sebenar.

“Ia secara tidak langsung dapat membuatkan pesakit menjalani kehidupan gembira bersama keluarga dan rakan-rakan selain melakukan aktiviti-aktiviti yang diinginkan,” katanya.

Melissa yang juga merupakan penulis untuk Suite 101.com dan juga panduan siaran kesihatan Lestout.com memberitahu, jantung tiruan juga mempunyai keburukannya.

“Keburukan yang dimaksudkan apabila enjin elektrik yang terdapat pada jantung tiruan gagal untuk berfungsi dan kegagalan mengambil pencair darah untuk mengelakkan pembekuan.

PENGGUNAAN jantung tiruan mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri yang perlu difahami pemiliknya.

“Strok dan pendarahan juga mungkin berlaku akibat komplikasi daripada penggunaan jantung tiruan. Selain itu, tidak semua pesakit mempunyai saiz tubuh yang membolehkan peranti ditanamkan ke dalam rongga dada. Orang muda atau bertubuh kecil tidak mungkin boleh menerima peranti tersebut,” katanya.

Tambahnya, jantung tiruan bukan merupakan penyelesaian buat semua pesakit jantung tetapi untuk sesetengah pesakit penggunaan jantung tiruan mungkin adalah pilihan yang tepat.

“Teknologi perubatan sentiasa berkembang dan para penyelidik juga sentiasa melakukan perubahan untuk menjadikan jantung tiruan sesuai digunakan oleh semua pesakit tanpa sebarang komplikasi,” kata Melissa.


sumber asal: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA dan ROSMALINA ABD. KADIR

p o t p e t p o t p e t :

kredit kepada dua penulis di atas di atas artikel yang menarik ini. Diharap dapat memberi sinar baru kepada pesakit-pesakit jantung di negara kita

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com