Ismail penggesek gergaji

TATKALA menyebut gergaji, semua orang pasti sudah boleh menggambarkan sejenis peralatan pertukangan yang matanya bergigi tajam bertujuan memotong kayu. Lebih daripada itu, apalah yang boleh dilakukan daripada alat tersebut.

ISMAIL menggunakan penggesek biola untuk menghasilkan bunyi pada bilah gergaji.

Bagaimanapun, siapa sangka seorang lelaki mempunyai kebolehan luar biasa apabila menambahkan satu lagi fungsi gergaji iaitu sebagai alat muzik.


Rakyat Malaysia mungkin kurang mengenali nama Ismail Jejaka, 60 tahun. Namun, lelaki itu pernah mencipta nama di negara jiran iaitu Indonesia dan pernah membuat persembahan di hadapan 30,000 penonton.

Figura yang bakatnya dicungkil menerusi rancangan realiti, Bakat TV anjuran RTM tahun 1979 itu kedengaran hebat di pentas persembahan. Justeru, sayang sekali apabila namanya kurang dikenali di negara kelahiran sendiri.

Menurut Ismail, sudah lebih dua dekad dia membina tapak sebagai pemuzik gergaji di Indonesia. Namun, hanya kini dia mempunyai keyakinan untuk menonjolkan diri di Malaysia selepas mendapat galakan pengurusnya, Mastot.

"Saya pernah merakam dua buah album selepas memenangi Bakat TV di bawah komposer Datuk Ahmad Nawab. Bagaimanapun, sambutan di Indonesia lebih menggalakkan selepas pertama kali membuat persembahan di sana.

"Sehingga kini saya sudah membuat persembahan di beberapa negara jiran seperti Filipina, Hong Kong, Thailand dan Singapura termasuk Indonesia," katanya sambil memberitahu terlibat dengan 30 persembahan di Jawa Tengah sahaja bagi tahun 2010.

Menurut Ismail yang turut berkebolehan bermain gitar dan keyboard, beliau berharap bakatnya diterima masyarakat Malaysia sebagaimana di Indonesia.

"Selepas ditemu bual di RTM dan TV3 baru-baru ini, saya mendapat maklum balas yang positif daripada orang ramai yang mahu bakat saya diketengahkan. Ada juga yang mempertikaikan mengapa bakat saya tidak diberi perhatian selama ini.

ISMAIL menggunakan penggesek biola untuk menghasilkan bunyi pada bilah gergaji.

"Dahulu saya kecewa apabila tidak diberi peluang untuk mencipta nama di negara sendiri tetapi saya yakin rakyat Malaysia hari ini dapat menerima bakat pemuzik dan tidak tertumpu kepada penyanyi sahaja," katanya yang bakal tampil dengan album Inspirasi Ismail Jejaka dengan Gergaji Ajaib.

Detik awal

Mengimbas penglibatannya sebagai pemuzik gergaji, Ismail memberitahu, ia bermula ketika dia berusia 13 tahun. Ketika itu, dia membantu bapanya membuat kerja pertukangan menggunakan gergaji.

"Biasalah baru hendak mencuba, apabila gergaji tidak digunakan dengan betul, ia menghasilkan satu bunyi. Ketika itu timbul idea untuk mencipta lagu menggunakan gergaji dan hasilnya memang menakjubkan.

"Apabila semakin mahir bermain gergaji, saya menyertai pertandingan Bakat TV dan memenangi tempat pertama," katanya.

Menceritakan detik itu, Ismail yang hadir bersama sebuah gergaji dan penggesek biola disangka mahu bergurau apabila memberitahu penerbit program berkenaan bahawa dia menggunakan gergaji sebagai alat muzik.

"Peserta lain yang datang ke uji bakat masing-masing bermain alat muzik yang dikenali seperti gitar, piano dan saksofon tetapi saya datang dengan sebilah gergaji.

"Apabila saya mula memainkan gergaji, semua yang ada di situ terkejut kerana mereka tidak sangka sebilah gergaji mampu menghasilkan melodi yang merdu. Ia juga dapat memainkan pelbagai genre muzik daripada sentimental sehinggalah muzik rock," katanya.

Tersendiri

Tidak seperti alat muzik lain yang terikat dengan kod-kod tertentu, gergaji mempunyai kodnya yang tersendiri yang hanya difahami pemainnya. Melodinya juga berbeza mengikut saiz gergaji.

"Gergaji yang kecil menghasilkan bunyi yang lebih halus. Pemainnya juga perlu bijak melenturkan gergaji di bahagian hujung bagi menghasilkan getaran bunyi yang lebih merdu.

"Selain menggunakan penggesek biola, bilah gergaji juga boleh dipetik menggunakan hujung jari untuk bunyi yang berbeza," katanya yang mempunyai koleksi lebih 60 bilah gergaji.

Mereka yang berminat untuk menempah persembahan dengan Ismail Jejaka boleh menghubungi Mastot di talian 017-313 0640.

sumber asal: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

p o t p e t p o t p e t :

kreatif!!~

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com