bayar RM16,000 untuk dapatkan AS$3.2 bilion (RM10 billion) harta bekas presiden Sukarno

SEREMBAN: Terpengaruh untuk mendapatkan harta yang dikatakan milik bekas Presiden Sukarno, enam rakan sepejabat kerugian RM16,000 yang mereka laburkan kononnya untuk mencairkan harta bekas pemimpin nombor satu Indonesia itu.


Seorang daripada mangsa yang mahu dikenali sebagai Shamsul, 30-an, berkata, segalanya bermula apabila dia bersama rakan diperkenalkan mengenai pelaburan pencairan harta Sukarno itu oleh seorang lelaki berusia 40-an di sebuah restoran di sekitar Bandar Baru Nilai, di sini, pada 13 Oktober lalu.


Menurutnya, lelaki itu memberitahu pewaris harta yang kononnya berjumlah AS$3.2 bilion (RM10 billion) itu adalah anak Sukarno yang dibawa ke negara ini ketika masih kecil dan dia kini dalam proses mendapatkan semula harta berkenaan yang didakwa berada dalam kawalan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Bagaimanapun, kami diberitahu harta itu perlu ‘dicairkan’ terlebih dulu dan memerlukan bantuan daripada pelabur atau digelar ‘jemaah’ untuk menyalurkan kos pelepasan mencecah puluhan ribu ringgit.

“Kos itu dianggap sebagai pelaburan untuk memastikan kelancaran proses pencairan harta berkenaan antaranya membabitkan urusan polis, kastam, imigresen dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).


“Selepas harta itu dicairkan, setiap pelabur akan menerima pulangan balik pelaburan sebanyak lima kali ganda termasuk bonus yang didakwa mencecah jutaan ringgit dalam tempoh hanya seminggu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, pada masa yang sama pelabur juga diminta tidak mendedahkan hal berkenaan kepada sesiapa kerana semua urusan adalah sulit.

Shamsul berkata, untuk meyakinkannya dan rakan lelaki itu turut menunjukkan dokumen didakwa surat asal Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang menyatakan terdapat perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan White House (kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat) serta FBI (Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat).

“Selain itu, lelaki berkenaan turut menunjukkan slip pemindahan wang sebanyak RM250 juta dari sebuah bank di London ke akaun bank tempatan yang dikatakan milik pewaris harta terbabit bertarikh 12 Oktober 2010,” katanya.

Shamsul yang terpengaruh dengan kata-kata lelaki itu kemudian bersetuju membayar kos pelepasan dengan memasukkan wang berjumlah RM2,500 ke dalam akaun bank seorang lelaki dipercayai orang kanan sindiket terbabit.

“Namun, janji yang diberikan berkaitan pulangan balik pelaburan termasuk bonus dalam tempoh seminggu ternyata palsu semata-mata dan gagal diperoleh sehingga ke hari ini,” katanya yang membuat laporan polis.

Menurutnya, selain dirinya, lima lagi rakan sepejabatnya turut membuat pelaburan dengan jumlah berbeza-beza antara RM2,000 dan RM3,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira RM16,000.

“Saya percaya selain kami berenam, ramai lagi individu termasuk di negeri lain turut terpedaya dengan helah licik sindiket ini. Saya membuat pendedahan ini supaya orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak turut menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan berkata seorang lelaki berusia 30-an dipercayai orang kanan sindiket berkenaan ditahan pihaknya di sekitar Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor, minggu lalu.

“Kami merampas sebuah komputer riba dipercayai milik ketua sindiket berkenaan dan beberapa slip atau resit bank.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang memburu dalang sindiket yang berasal dari Muar, Johor,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu dan turut memburu mangsa di beberapa negeri lain.

“Sehubungan itu, kami meminta mangsa yang turut terpedaya supaya tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

sumber asal: http://www.hmetro.com.my/articles/Bayarribudapatjuta/Article
Oleh Iskandar Shah Mohamed

p o t p e t p o t p e t :

tiada jalan mudah untuk dapat duit. jangan cepat melatah.huhuu..

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com