tinggal bawah jambatan Lebuh Raya Timur Barat (Metramac) kerana kedaifan

KUALA LUMPUR: “Saya pun tak ingat bila kali terakhir menjamah nasi. Syukur hari ini kami berpeluang menikmati nasi lemak berlauk sambal sotong,” kata Hazmain Abdul Jalil, 28, yang tinggal di bawah jambatan Lebuh Raya Timur Barat (Metramac) bersama isteri dan anaknya berusia setahun lima bulan kerana kedaifan.


Tiga beranak berkenaan tinggal di bawah binaan konkrit itu bersama dua rakan Hazmain, Mohd Hafiz Abdul Aziz, 30 dan Chan Che Wah, 44 sejak lima bulan lalu.

Menurut Hazmain, mereka tiada pilihan lain, selain daripada tinggal di bawah jambatan selepas dihalau pemilik rumah yang disewanya dengan harga RM200 di Sungai Besi, di sini lima bulan lalu.

DAIF...(dari kiri), Chan dan Mohd Hafiz turut tinggal bersama Siti Faizah dan Hazmain di bawah jambatan.

“Sebelum ini, isteri saya (Siti Faizah Abu Bakar, 27) bekerja di restoran makanan segera, namun dia berhenti selepas melahirkan anak. Jadi perbelanjaan hanya di atas tanggungan saya. Masalahnya saya tiada pekerjaan tetap,” katanya.


Katanya, bagi mencari rezeki halal, dia pernah melakukan pelbagai kerja termasuk kerja kontrak dan pekerja kilang kopi dan yang terakhir sebagai pencuci bangunan di pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur.

“Saya hanya pekerja kontrak, apabila tiada kerja maka saya tidak mempunyai sumber kewangan. Kami juga mencatu makanan iaitu sekali sehari manakala anak pula makan apa saja seperti yang kami makan atau minum susu,” katanya yang berasal dari Sandakan manakala isterinya dari Segamat, Johor.

Nasib malang keluarga Hazmain dan dua rakannya itu mendapat perhatian Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh bersama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Seputeh dan Exco Pemuda Umno Sabah, Mohd Gasing Saling ‘turun padang’ menghulurkan bantuan.

SEBAK...Khairun menenangkan Hazmain yang sedih ketika dilawati Pemuda Umno di bawah jambatan, semalam.

Muhd Khairun kesal kerana tiada pihak tampil memberi sumbangan dan mengambil tindakan terhadap masalah tiga beranak itu termasuk dua rakan mereka.

“Hari ini (semalam), kami pindahkan ke asrama belia di Wisma Belia Jalan Syed Putra untuk sementara waktu sebelum mendapat rumah yang lebih selesa. Yang penting, kami tidak mahu mereka kembali ke bawah jambatan lagi,” katanya.

Katanya, Hazmain, isterinya dan anak mereka, Siti Norafidah bersama Mohd Hafiz dan Chan akan dibantu supaya diberi tempat tinggal di mana projek perumahan rakyat termiskin (PPRT), selain bantuan mendapatkan pekerjaan tetap.

“Saya meminta bantuan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Umno bagi mencarikan pekerjaan yang sesuai kepada Hazmain, Mohd Hafiz dan Chan mengikut kelayakan mereka manakala urusan rumah dan bantuan lain di bawah pengawasan Pemuda Umno Seputeh,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hafiz, berkata, dia simpati melihat nasib pasangan suami isteri itu dan mengajak mereka tinggal bersama walau pun hanya di bawah jambatan.

“Saya yang ajak mereka tinggal bersama kerana bimbangkan keselamatan dan kesihatan Siti Norafidah yang masih kecil. Walau pun, saya berteduh di bawah jambatan ini tapi sekurang-kurangnya kami dapat berlindung daripada hujan dan panas,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah terfikir menjalani kehidupan sebegini dan tinggal di bawah jambatan sedangkan dia mempunyai latar belakang keluarga dan pendidikan yang baik.

sumber asal: http://www.hmetro.com.my/articles/Dahlamatakjamahnasi/Article
Oleh Siti Zarinah Sahib dan Asmah Rusman

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com