Indonesia didesak hentikan kebakaran

SINGAPURA: Singapura semalam mendesak Indonesia segera memadamkan kebakaran di Sumatera yang menjadi punca pencemaran udara teruk dan masalah kesihatan di Kota Singa dan Malaysia, menyebabkan Jakarta menghantar 300 anggota bomba ke pulau berkenaan.

Anggota bomba Indonesia memadamkan api di kawasan hutan Bengkalis, wilayah Riau di Pulau Sumatera, semalam.

Menteri luar, George Yeo dilaporkan menghubungi rakan sejawatnya melalui telefon, Marty Natalegawa untuk melahirkan kebimbangan mengenai keadaan yang semakin buruk dan menyatakan kesediaan Singapura untuk membantu memadamkan kebakaran, kata satu kenyataan kerajaan.

Natalegawa memberi jaminan kepada Yeo bahawa Jakarta akan berusaha menangani masalah jerebu, sambil menambah bahawa kesihatan ramai warga Sumatera juga turut terjejas, kata Kementerian Luar Indonesia.

Malaysia juga menyalahkan kebakaran di Sumatera sebagai punca mutu udara di beberapa bandar selatan semakin teruk.

Pencemaran udara di Singapura mencecah tahap tidak sihat semalam berikutan asap dari kebakaran yang dikatakan berpunca dari pembersihan tanah untuk pertanian dan perladangan di Sumatera.


Bacaan Indeks Standard Pencemaran (PSI) selama tiga jam meningkat kepada 108 petang kelmarin di Singapura yang mencetuskan amaran kesihatan berikutan bacaan melebihi 100 disifatkan sebagai tidak sihat.
Ia kemudian menurun kepada 83 tengah hari semalam tetapi rakyat Singapura terus memberikan langkah berjaga-jaga termasuk memakai topeng muka bagi melindungi kanak-kanak dan mereka yang mengalami masalah pernafasan seperti asma.

Kebanyakan kebakaran yang berlaku di Sumatera adalah berpunca daripada pemilik tanah kecil yang menjalankan kerja membersihkan pokok di kawasan tanah gambut untuk penanaman kelapa sawit dan juga tanaman lain.

“Kami melakukan usaha untuk mengawal kebakaran. Ia amat sukar terutama di kawasan tanah gambut,” kata Menteri Perhutanan, Zulkifli Hasan kepada pemberita.

Ketua bomba hutan Indonesia, Noor Hidayat berkata, 300 anggota bomba tambahan dihantar ke kawasan yang terjejas teruk di wilayah Riau, Sumatera yang terletak bertentangan dengan Singapura merentasi Selat Melaka.

Kebakaran memuncak pada Ahad lalu apabila sebanyak 351 kawasan panas dicatatkan di Sumatera termasuk 144 di Riau. Hanya 51 kebakaran direkodkan di seluruh Sumatera, kelmarin.

Jerebu mencapai tahap paling buruk pada 1997 dan 1998 menyebabkan kerugian di rantau Asia Tenggara yang dianggarkan sebanyak AS$9 bilion (RM28.8 bilion). – AFP


sumber asal: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Indonesiadidesakhentikebakaran/Article

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com