bapa melambung dirempuh treler

SEREMBAN: “Saya nampak treler menghala ke arah kami dengan laju lalu menarik ibu ke tepi, namun saya terkejut menyaksikan bapa melambung selepas dirempuh treler itu,” kata seorang mangsa kemalangan maut membabitkan sebuah treler dan Proton Saga di Kilometer 252.7 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, pagi semalam.

MAUT...polis memeriksa mayat mangsa yang maut dalam kemalangan pagi semalam. Gambar kecil, Foo.

Lew Chin Shiong, 19, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi semalam, jiran mereka, Foo Hui Theng, 19, pelajar sebuah kolej, berada di tempat duduk belakang kereta maut di tempat kejadian, manakala bapanya, Liu Ah Gan, 55, cedera di badan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan.


“Ketika kejadian, saya, bapa dan ibu Tan Siew Neo, 49, berada di luar kenderaan untuk menolak kereta itu yang rosak. Apabila bapa cuba memasuki lorong kecemasan, kereta itu terhenti di lorong kiri.


“Bagaimanapun, ketika hendak menolak kereta itu, tiba-tiba sebuah treler muncul lalu merempuh belakang kereta dan bapa berada di sebelah kanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menceritakan kemalangan itu, Lew berkata, dia bersama ibu bapa dan dua jirannya dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur.


Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba kereta rosak dan bapanya memandu kenderaan itu dari lorong kiri untuk masuk ke lorong kecemasan sebelum ia terhenti lalu keluar untuk menolaknya, manakala dua anak jirannya duduk tempat duduk belakang.

“Sebaik keluar dan baru hendak menolak kereta itu, tiba-tiba sebuah treler datang dan merempuh kereta bersama bapa. Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan saya hanya sempat menarik ibu bagi mengelak dirempuh.


“Seorang jiran saya yang berada di tempat duduk belakang kereta mati dan tersepit, manakala seorang lagi yang turut berada di tempat duduk belakang cedera, namun tidak serius,” katanya Sementara itu, jurucakap polis berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi melakukan siasatan sebaik menerima panggilan kecemasan.


Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas enjin kereta dinaiki mangsa rosak menyebabkan terhenti di lorong kiri lebuh raya. Pemandu, penumpang depan serta seorang penumpang belakang turun dipercayai untuk mengalihkan kenderaan itu.


“Bagaimanapun, tiba-tiba muncul sebuah treler lalu merempuh belakang kanan kenderaan berkenaan lalu menyeret Proton Saga itu beberapa meter ke hadapan.


“Akibat rempuhan itu, penumpang belakang sebelah kanan maut di tempat kejadian,” katanya.


Beliau berkata, pemandu treler berusia 40-an berkenaan, bagaimanapun tidak cedera dan membuat laporan polis.


Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut kejadian itu dan pada masa sama meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menghubungi polis.


Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah yang dihubungi mengesahkan kejadian, berkata siasatan lanjut sedang dilakukan.


Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Ahmad Khairi Roslan di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran.

sumber asal: http://www.hmetro.com.my/articles/20101019022017/Article
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com