Renungan Ramadhan Malam Ketiga Puluh

Renungan Ramadhan 30

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Lusa, kita dijangka menyambut 1 Syawal, di mana kita merayakan Aidilfitri.

AIDILFITRI adalah hari raya khusus untuk orang yang bertakwa selepas sebulan berpuasa.

Aidilfitri juga hari perayaan iman. Bagi setiap orang yang benar-benar memahami serta menghayati Islam akan menginsafi dan merasai bahawa betapa gembiranya mereka pada hari ini.


Allah menetapkan Aidilfitri sebagai hari kegembiraan dan kemenangan bagi orang beriman. Kita perlu merasakan hakikat nikmat Allah yang lengkap dan sempurna ketika menyambut hari lebaran ini.

Betapa agungnya Aidilfitri jelas dilihat apabila Rasulullah saw melarang umatnya (haram) daripada berpuasa pada hari itu.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, katanya:

“Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak boleh berpuasa pada dua hari
tertentu iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka daripada Ramadan (Aidilfitri).” (Hadis riwayat Muslim).

Kenikmatan berhari raya hanya dapat dirasakan oleh orang yang berpuasa Ramadan dalam erti kata sebenar saja. Maksudnya, orang yang melaksanakan ibadat puasa semata-mata kerana tunduk dan patuh kepada perintah Allah.

Bukan mulut mereka saja berpuasa, malah anggota badan lain seperti telinga, mulut, hidung dan mata dipelihara daripada melakukan perkara keji dan kotor.

Orang yang hanya sekadar “puasa-puasaan” atau tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebab dibenarkan syarak, bagi mereka hari raya tidak mempunyai sebarang erti dan nilai.

Sesungguhnya, kegembiraan berhari raya itu bukan diukur dan bergantung kepada kehebatan pakaian atau hiasan serta banyaknya makanan pada hari raya. Ia terletak kepada sejauh mana bertambahnya ketakwaan dan keimanan seseorang itu.

Kedatangan Aidilfitri hendaklah disambut dengan ucapan takbir dan tahmid. Takbir dan tahmid yang kita ucapkan pada malam dan pagi hari rayamengandungi dua makna. Pertama, menyambut kedatangan Syawal yang mulia dan kedua, menunjukkan kesedihan di atas pemergian Ramadan al-Mubarak.

Dalam kemeriahan menyambut hari raya, janganlah sekali-kali dilupai orang yang tidak berkemampuan. Sebagai tanda mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, berilah bantuan kepada mereka dan binalah persaudaraan Islam sejati.

Kedatangan 1 Syawal tidak seharusnya dicemari dengan hiburan yang melampaui batas. Sebaliknya, perayaan Islam dimulakan dengan takbir dan tasbih memuji dan menyucikan Allah.

Rasulullah menyarankan agar umat Islam menyambut hari raya ini dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda bermaksud:

“Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)."
(Hadis riwayat al-Thabrani).

Laungan takbir yang berkumandang di seluruh pelusuk tanah air, pasti menyejukkan jiwa. Ia akan kembali menenangkan fikiran, melapangkan hati untuk bermaafan, menjalin dan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang lama terjalin sesama umat Islam.

Semoga Allah menerima puasa kita, solat kita, doa kita dan semua amalan kita. Semoga Allah membantu kita untuk meneruskan amalan-amalan ini secara berterusan sepanjang tahun; biarpun sedikit sebagaimana di dalam hadis Aisyah (ra) yang berkata yang maksudnya

"Ditanya Nabi (saw) tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: "Amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Hadis riwayat Bukhari)

SELAMAT HARI RAYA .. Maaf Zahir Batin
Wabillahi taufik wal Hidayah.


…cebisan tazkirah menyelami rahsia Ramadhan untuk bacaan setiap malam …





Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com