curi balak ketika terawih

RAUB: Taktik licik menebang dan memindahkan kayu balak dalam masa tiga hingga lima jam ketika umat Islam menunaikan solat sunat Tarawih dikesan digunakan satu sindiket yang melakukan aktiviti haram itu di daerah ini.
BUKTI...Zulfakar menunjukkan kayu cengal yang dicuri di kawasan Hutan Simpan Kelau, Raub, kelmarin.

Bagaimanapun, helah itu dihidu anggota Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang menahan tiga lelaki dan merampas dua lori enam tan serta masing-masing sebuah pacuan empat roda dan jengkaut dalam dua kes cubaan memindahkan kayu jenis cengal bernilai kira-kira RM38,000 di sini, malam kelmarin.


Seorang lelaki yang ditahan dikenal pasti sebagai penduduk tempatan dan disenaraikan sebagai aktif melakukan kegiatan memindahkan kayu tanpa permit di beberapa kawasan hutan di daerah ini.

Pegawai Hutan Daerah Raub, Zulfakar Ali, berkata dalam kes pertama, usaha pemandu lori, jengkaut dan pacuan empat roda terbabit melarikan diri di kawasan Hutan Simpan Batu Talam, di sini, gagal apabila mereka diberkas sembilan anggota Unit Penguat Kuasa JPNP.

Katanya, selepas mendapat aduan, pihaknya membuat serbuan di kawasan Hutan Simpan Batu Talam kira-kira jam 11 malam dengan dibantu dua anggota polis dari Balai Polis Cheroh, di sini.

“Pemeriksaan dilakukan di dalam lori yang bertutup mendapati ada tiga kayu cengal seberat lima tan metrik bernilai RM25,000 yang cuba dipindahkan tanpa permit dan dipercayai untuk dihantar ke Selangor.

“Usaha menahan anggota sindiket terbabit yang berusia 30-an hingga 40-an pada mulanya berdepan kesukaran, namun mereka diberkas beberapa minit kemudian.

“Pemeriksaan mendapati sindiket terbabit menebang tiga pokok cengal di kawasan hutan simpan itu dan mereka melakukan kegiatan berkenaan dalam tempoh tiga hingga lima jam ketika umat Islam menunai solat sunat Tarawih,” katanya.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai mempunyai pengalaman melakukan aktiviti menebang dan membawa keluar kayu balak tanpa permit terutama di Raub, Lipis serta Jerantut dan tumpuan mereka membabitkan balak berkualiti tinggi seperti cengal, meranti, merbau serta balau.

Katanya, tiga lelaki terbabit kini direman sebelum didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Zulfakar berkata, dalam kes kedua, pihaknya menahan sebuah lori bersama enam kayu cengal bergergaji pelbagai saiz selepas usaha mereka yang melarikan diri gagal apabila tayar kenderaan dinaiki terbenam dalam lumpur di kawasan Hutan Simpan Kelau, dekat sini.

Katanya, siasatan mendapati sindiket terbabit cuba membawa keluar lebih lapan tan metrik kayu cengal bergergaji bernilai RM13,000 secara berperingkat, namun kegiatan haram itu disekat.

“Kami gagal menahan individu yang terbabit dalam kes ini apabila mereka berjaya melarikan diri ke dalam hutan selepas menyedari kehadiran anggota unit penguat kuasa,” katanya.

sumber asal: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CuribalakketikaTarawih/Article





Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com