anak Sosilawati setuju keluarga saman suspek bunuh

KUALA LUMPUR: Anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, memberi persetujuan keluarga mereka untuk memfailkan saman terhadap semua suspek pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu.
Kenderaan polis membawa beberapa suspek memasuki ladang milik suspek utama kes bunuh Sosilawati dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, semalam.

Pengasas dan peguam kanan Kamarudin & Partners, Kamarudin Ahmad, berkata perkara itu disahkan dalam mesyuarat selama satu setengah jam antara pihaknya dengan Erni yang hadir bersama seorang adik perempuannya di pejabat firma guaman berkenaan, pagi semalam.
“Mereka bersetuju dengan cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang menuntut ganti rugi atas kehilangan tempat bergantung (ekoran pembunuhan Sosilawati) akibat perbuatan menyebabkan kematian secara bersalah ke atas mangsa.


“Saya juga sudah meminta kerjasama Erni untuk menghubungi keluarga dua mangsa lain, Noorhisham Mohammad (pegawai kredit CIMB Bank) dan Kamaruddin Shansuddin (pemandu peribadi Sosilawati), bagi mendapat penyertaan mereka dalam tuntutan saman ini.

“Keluarga seorang lagi mangsa, Ahmad Kamil Abd Karim (peguam Kamarudin & Partners cawangan Putrajaya), masih mempertimbangkan cadangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kamarudin berkata, jumlah saman yang akan difailkan terhadap semua suspek kes berkenaan secara keseluruhannya mencecah RM20 juta.
Mengenai kadar tuntutan ganti rugi untuk waris Sosilawati saja daripada jumlah itu, beliau berkata, perkara berkenaan masih pada peringkat perbincangan awal dan belum diputuskan lagi.

Namun, katanya, Erni akan mengadakan sidang media minggu depan berhubung tuntutan ganti rugi itu dan juga penubuhan Tabung Pendidikan Anak Permata Kasih untuk membantu keperluan pendidikan anak semua mangsa.

Sementara itu ditanya pandangan serong segelintir pihak yang menganggap usaha dilakukannya sebagai mencari publisiti semata-mata pula, Kamarudin berkata, soal berkenaan tidak timbul.

“Datuk Sosilawati adalah anak guam firma guaman ini di cawangan Putrajaya. Oleh itu apabila berlaku kes sebegini, kami bertanggungjawab untuk meneruskan khidmat kepada anak beliau supaya mereka terbela.

“Bagaimanapun, saya tidak kesal dengan pandangan sedemikian kerana itu hak masing-masing dan saya menghormatinya. Perkara ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus membantu, malah ramai yang memberi sokongan kepada usaha dilakukan,” katanya.


sumber asal: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AnakSosilawatisetujukeluargasamansuspekbunuh/Article/
Oleh Syuhada Choo Abdullah

Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com