Renungan Ramadhan Malam Kesepuluh

Renungan Ramadhan 10



Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ramadhan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak. Walaupun, oleh kerana kedudukan geografi yang berlainan, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama.. tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan
Ramadhan di tempat masing-masing.


Sesungguhnya Ramadhan membayangkan kesejagatan dan solidariti Islam. Di setiap detik dalam 24 jam, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain merai’kan Ramadhan mubarak ini.

Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kumpulan etnik, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadhan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat Allah:

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
( Surah al-Anbiyaa’:107)

Kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity) ini adalah ciri penting Islam.
Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan prinsip.

Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa di bulan Ramadhan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah dengan melihat bulan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang mengatakan solat malam di bulan Ramadhan itu amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip
dan tidak ada pertikaian mengenainya.

Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan “anak bulan telah kelihatan” atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujjah dan
nas yang kuat.

Perbezaan pendapat sedemikian juga tidak semestinya menyebabkan kita berbalah; berkelahi atau rendah-merendahkan. Para sahabat pernah berbeza pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka Anas bin Maalik berkata:

"Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa Ramadhan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa.
[hadis riwayat Bukhari and Muslim]

Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi (saw) yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkara-perkara khilafiyah sebegini.

Ingatlah pesanan Allah:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan)
(surah al-Hujurat: 11)

Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita.
Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain.

Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.

Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika
itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa!






Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com