lelaki belasah tunang hingga mati dihukum gantung

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorang jurujual peralatan gas selepas didapati bersalah membunuh tunangnya dua hari sebelum tarikh mereka diijabkabulkan, empat tahun lalu.


Hakim Datuk Zamani A Rahim membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh, Raja Saiful Nizam Raja Ali, 28, dari Bandar Amanjaya, Sungai Petani, dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 12.01 tengah malam hingga 4 pagi, 29 Ogos 2006 di lereng bukit Tanjung Jaga, Yan.


Dia dituduh dengan sengaja melakukan pembunuhan menyebabkan kematian Rohayu Kasa, 28, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Hakim ketika membacakan keputusannya berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Sebaik hakim membacakan keputusan kes itu, beberapa ahli keluarga terdekat tertuduh yang berada di dalam mahkamah kelihatan menangis dan berpelukan.

Raja Saiful Nizam yang berbaju kemeja kuning berkotak dan berseluar denim biru kelihatan tenang dan sempat memandang ke arah keluarganya sebaik hukuman dijatuhkan.
Mengikut fakta kes, tertuduh dan Rohayu bertunang pada 22 Mei 2006 selepas sebulan mereka berkenalan dan ahli keluarga menetapkan tarikh perkahwinan mereka pada Februari 2008 sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina dengan belanja hantaran RM5,612.

Pada jam 8.30 malam 28 Ogos 2006, tertuduh dan mangsa keluar bersama dan pergi ke kawasan berhampiran sebuah banglo tinggal di Tanjung Jaga membincangkan hal perkahwinan mereka dan tertuduh memberitahu mengenai masalah wang hantaran yang tidak cukup sebanyak RM2,000 dan bertengkar sehingga menyebabkan tertuduh memukul mangsa dengan topi keledar di kepala serta badan menyebabkan tunangnya itu parah.

Tertuduh kemudian mengheret mayat mangsa ke dalam semak di lereng bukit di situ dan menutupnya dengan ranting dan daun kering. Beberapa jam selepas itu tertuduh menyerah diri kepada polis dan memaklumkan mengenai pembunuhan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Ridha Abdah Subri, manakala tertuduh diwakili G Ravishankar.

sumber asal: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lelakibelasahtunanghinggamatidihukumgantung/Article


semoga menjadi iktibar kepada yang lain






Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com