duit bantuan RM450 tetapi tambang untuk ambil duit RM500

Tiada mesen ATM punca penduduk Baram, Bario dan Mulu sukar dapat wang

Pekan Long Lama tidak mempunyai kemudahan ATM menyukarkan penduduk untuk mendapatkan wang dan terpaksa ke Miri.

MIRI: Elaun sara hidup diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya antara RM60 hingga RM450 sebulan, tetapi kos pengangkutan terpaksa ditanggung untuk ke bank bagi menuntutnya pula antara RM200 hingga RM500.

Itulah nasib 200 golongan kurang upaya dan warga tua dari kawasan Baram, Bario dan Mulu di utara Sarawak setiap bulan, apabila mahu mengeluarkan elaun yang diberikan jabatan itu daripada bank ditetapkan.
Bagi perjalanan dari semua penempatan di tiga kawasan itu, penerima bantuan sara hidup terpaksa membelanjakan sebahagian besar daripada wang sumbangan ke bank di Marudi, Miri atau Lawas.


Ketua masyarakat di kawasan Baram dari Kampung Ramapuh, Philip Lakai, berkata walaupun memperoleh bantuan elaun sara diri daripada JKM setiap bulan ia tidak memberi manfaat kepada penerimanya.

“Tidak berbaloi bagi penerima yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mengeluarkan elaun sara hidup setiap bulan sama ada di Miri, Marudi dan Lawas.

“Kos pengangkutan begitu tinggi dan mahal. Mereka perlu menyewa kenderaan pacuan empat roda, membayar tambang bot atau menaiki pesawat untuk mengeluarkan wang bantuan di bank,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, tiada institusi kewangan atau mesin pengeluar wang automatik (ATM) berhampiran penempatan penduduk terbabit.

Bagi penerima elaun sara hidup di Mulu, katanya, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa menggunakan bot panjang sehari suntuk ke Marudi atau menggunakan pesawat ke Miri jika ingin mengeluarkan wang berkenaan.

“Situasi sama turut dialami penduduk di tanah tinggi Bario yang bergantung kepada pengangkutan udara sama ada ke Miri atau Lawas, manakala bagi penerima di kawasan Baram, mereka terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa lima hingga enam jam untuk sampai ke Miri. Ia bergantung kepada keadaan jalan balak yang digunakan,” katanya.

Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Eda Beran, Baram, Elizabeth Deng, berkata Bario, Mulu dan Baram memerlukan kemudahan ATM untuk memudahkan mereka mengeluarkan wang mereka.

Deng yang juga Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Telang Usan berkata, sebelum ini pihaknya bekerjasama dengan JKM untuk menghantar elaun bantuan itu kepada penerima di Baram, namun kini ia sudah dihentikan.

“Kami tidak dapat mengharapkan JKM menghantar elaun setiap bulan kerana kos pengangkutan amat tinggi. Di kawasan Tutoh Apoh saja misalnya, penerima elaun datang dari 10 kampung berasingan yang terletak berjauhan,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya Long Lama, pekan paling dekat dengan penduduk Baram disediakan dengan kemudahan ATM bagi memudahkan mereka mengeluarkan wang.
Selain Long Lama, beliau mencadangkan kemudahan yang sama di Bario dan Taman Negara Gunung Mulu.

“Sebelum ini saya sudah berbincang dengan sebuah bank, dan setakat ini masih menunggu maklum balas. Ada bank yang berminat untuk memasang mesin ATM di Taman Negara Gunung Mulu. Malah, pihak pengurusan Mulu sedia memberi kerjasama,” katanya.

Deng berkata, Pergerakan Wanita PBB akan terus mencari pendekatan terbaik menyediakan mesin ATM bagi memudahkan penerima mengeluarkan wang mereka, selain bagi kegunaan penduduk di kawasan terbabit.

sumber asal: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sabah_Sarawak_BantuanRM450_tambangRM500/Article




Popular Posts

Blog List

 
simiey[dot]com

Blogger Template by Blogger Mbojo Share In Premium Wordpress Themes and Blogger Template | Host In Blogger.com